PENDAHULUAN
Institusi
fatwa adalah salah satu institusi kerajaan yang amat penting dalam pentadbiran
agama dan mufti adalah antara pegawai agama yang mendapat tempat sebaris
bersama-sama da’i muqri’, Imam dan pengurus hal ehwal haji pada zaman
Rasullullah s.a.w.
Fatwa
sangat penting dalam melayari kehidupan ini dan kewujudan fatwa membolehkan
perlaksanaan hukum-hukum syarak ditegakkan berlandaskan kaedah-kaedah syariah.
Fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang
Islam atau hukum syarak. Dengan kedudukan itu, institusi fatwa diberikan
perhatian yang utama oleh dunia Islam
Kepentingan
fatwa semakin terserlah dalam kehidupan manusia sejagat sebagai satu mekanisme
utama bagi menjelaskan hukum syarak dan penyebaran ajaranyan merangkumi aspek
akidah serta syariat di dalam kehidupan manusia. Melihat kepentingan institusi
fatwa dan juga peranan mufti dalam Islam, maka mufti adalah tokoh terpenting
dalam masyarakat dan kerajaan Islam.
Al-Quran
dan al-Sunnah pula menjadi sumber utama dalam syariah Islam yang tidak mungkin
difahami oleh semua golongan muslim kecuali mereka mengkaji secara mendalam
tentang bidang dan ilmu agama. Justeru, para ulama memainkan peranan yang amat
penting dalam merialisasikan tuntutan agama bagi memberi kefahaman yang jelas.
Seperti
yang diketahui, mengeluarkan fatwa merupakan tugas yang mulia dan agung, tetapi
mempunyai risiko yang tinggi kerana seorang mufti seperti pendapat Imam
Al-Shatibi adalah pengganti kedudukan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyampaikan
ajaran Allah, mengajar serta memberi peringatan kepada mereka yang menyeleweng .
Menfatwa
merupakan tugas yang mulia dan agung, tetapi mepunyai risiko yang tinggi. Hal ini
kerana, seorang mufti seperti mana pendapat Imam al-Syatibi adalah menempati
kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pengganti dan pewarisnya dalam menyampaikan
ajaran Allah, mengajar, memberi petunjuk kepada manusia kearah jalan yang benar
serta memberi peringatan kepada mereka dari ancaman seksa bagi yang
menyeleweng. Seorang mufti di samping kewajipan menyampaikan hukum Allah SWT
yang sedia ada mengkaji dan menggali ketentuan-ketentuan hukum bagi
permasalahan dan kemusykilan baru berasarkan kaedah-kaedah syariat islam dalam
kerangka ijtihad. Pada posisi inilah seorang mufti menepati kedudukan
Rasulullah SAW yang wajib diikuti dan dipatuhi ketentuan fatwanya. Inilah makna
khilafah yang sebenar.
Imam Ibn
Qayyim menganggap bahawa seorang mufti adalah sebagai pemberi khabar tentang
ketentuan hukum Allah SWT dalam satu-satu perkara melalui ijtihad dan fatwanya.
Dalam mukaddimah kitabnya : اعلام الموقعين عن رب العالمين beliau berkata , “apabila tandatangan seorang
raja dan persetujuannya tentang sesuatu memiliki keistimewaan dan kemuliaan
yang tidak dinafikan, apatah lagi tandatangan dan persetujuan Rab al-‘Alamin,
penguasa langit dan bumi.
DEFINISI
FATWA
Definisi fatwa dari segi bahasa
adalah penjelasan atau memberi jawapan mengenai sesuatu perkara yang musykil
atau mempunyai kesamaran tentang hukum oleh seseorang yang faqih. Fatwa boleh
didefinisikan dari segi istilah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada
perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
Menurut Muhammad Sai’d, pengarang kitab Mazaliq al-Fatwa, fatwa dari segi istilah ialah penjelasan mujtahid berkenaan hukum syarak pada perlaksanaan atau masalah bagi menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh seorang mustafti sama ada secara jelas atau tidak jelas, sama ada mustafti itu tunggal atau ramai.
Seperti yang dinukilkan daripada Ensiklopedia Islam, fatwa ialah keputusan tentang sesuatu hukum agama yang belum pernah diputuskan berdasarkan al-Quran, hadis dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti atau mereka yang berhak tentang membuat keputusan hukum syarak.
Oleh yang demikian, fatwa ialah suatu keputusan yang dibuat oleh mufti atau penjelasan hukum syarak oleh sesuatu kumpulan yang terdiri daripada ulama’ iaitu Jawatankuasa Fatwa atau Jawatankuasa Syariah bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya sama ada secara bersendirian atau berjamaaah.
Manakala, menurut Zulkifli Mohammad
al- Bakri, setiap istilah yang ada di muka bumi ini mempunyai maksud yang
tersendiri, begitu juga dengan fatwa. Fatwa boleh dibahagikan kepada dua, iaitu
dari sudut bahasa dan dari sudut istilahnya. Perkataan fatwa sebenarnya berasal
daripada bahawa Arab, oleh yang demikian segala rujukan makna dan maksudnya
diambil dan dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar. Perkataan
fatwa mempunyai tiga perkataan bagi menunjukkan makna tersebut iaitu fatwa,
futya dan futwa.
Dalam
ketiga-tiga perkataan yang dinyatakan, kesemuanya menunjukkan maksud yang
hampir sama. Pertama ialah memberi penjelasan tentang sesuatu perkara oleh
seseorang yang faqih. Dalam hal ini, mereka yang bergelar faqih akan
menerangkan dan menjelaskan masalah atau sesuatu perkara sama ada yang telah
berlaku mahupun yang belum berlaku. Maksud yang kedua ialah penerangan perkara
yang musykil dan kesamaran tentang hukum. Manakala yang terakhir pula ialah
memberi jawapan bagi sesuatu masalah oleh seorang faqih. Asal
ketiga-tiga sebutan di atas adalah daripada perkataan fatwa yang bermaksud
pemuda yang sihat, cergas dan gagah.
Hal
ini dikaitkan dengan fatwa kerana apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa
kepada perkara yang menjadi kesamaran, maka fatwanya itu menjadikan suatu hukum
tersebut lebih kuat dan kukuh. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa
perkataan fatwa itu seperti pemuda yang berusia muda. Lantaran itu, seseorang
mufti yang mengeluarkan fatwa tentang sesuatu hukum akan turut memberi maksud
telah memperbaharui hukum tersebut.
Manakala
apabila dilihat fatwa menurut istilah pula, ulama usul telah memberikan
pelbagai definisi mengenai fatwa. Antaranya ialah fatwa merupakan hasil
ijtihad. Hal ini kerana apabila mufti ingin mengeluarkan sesuatu hukum maka
perlu kepada usaha ijtihad bagi menyelesaikan sesuatu perkara. Fatwa juga
didefinisikan sebagai jawapan kepada soalan terhadap perkara yang berlaku.
Selain itu, fatwa dianggap sebagai mengkhabarkan hukum Allah pada sesuatu
perkara yang mesti atau harus.
SEJARAH FATWA
Para
ulama menerima fatwa sebagai salah satu sumber terpenting dalam perundangan
Islam kerana semasa hayat Rasulullah s.a.w, Baginda sendiri pernah melakukan
ijtihad dan juga membenarkan para Sahabat melakukannya untuk mengeluarkan
fatwa. Rasulullah akan berijtihad untuk mendapatkan hukum sekiranya wahyu tidak
diturunkan lebih-lebih lagi jika keadaan memerlukan hukum dengan segera.
Pada
zaman Rasulullah s.a.w, mufti yang pertama adalah Rasulullah s.a.w sendiri
kerana Baginda adalah penerang dan penjelas yang pertama kepada hukum Islam.
Apabila dilihat amalan fatwa pada zaman ini, ia bukanlah hanya dilakukan oleh
Baginda secara peribadi bahkan para Sahabat juga diberi keizinan untuk berfatwa
dan berijtihad dalam menyelesaikan kes-kes yang dihadapi oleh Baginda
Kegiatan
fatwa bukan sahaja didokong oleh Baginda, namun turut melibatkan para Sahabat
yang diyakini kemampuan ilmiahnya. Selepas kawafatan Baginda, tugas berfatwa
diamanahkan pula kepada para ilmuan di kalangan para Sahabat
Para sahabat mengeluarkan fatwa sendiri ketika tidak terdapat hukum di dalam al-Quran dan hadis mengenai sesuatu masalah, dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka itu adalah menjadi hukum bagi masalah-masalah yang timbul. Begitu juga apabila berlaku perubahan zaman atau tempat, maka sudah semestinya timbul pelbagai masalah baru di kalangan masyarakat yang berbeza dan memerlukan kepada ijtihad sendiri untuk mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu hukum yang tidak terdapat di dalam al-Quran atau hadis.
Ini dapat dilihat ketika zaman Khalifah Uthman bin ‘Affan, beliau telah mengeluarkan fatwa supaya kuda dikeluarkan zakat. Beliau berpendapat bahawa ketika pada zaman Rasulullah tidak terdapat banyak kuda bahkan kuda sangat diperlukan untuk peperangan, maka sebab itu Rasulullah tidak mewajibkan zakat ke atas kuda. Namun demikian, ketika zaman beliau memerintah, didapati kuda telah banyak dan dijadikan barang perniagaan, maka sebab itulah beliau mengeluarkan fatwa supaya kuda dikenakan zakat.
Kesemua
fatwa yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat tersebut difahami dan dipegang oleh
tabi’in dan kemudiannya dipegang pula oleh tabi’ tabi’in. Mereka ini berpegang
teguh dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tempatan sebelum mereka di
samping mereka juga berijtihad sendiri sekiranya tidak terdapat hukum di dalam
al-Quran, hadis dan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan. Maka fatwa-fatwa yang
telah dikeluarkan tersebut menjadi pegangan bagi umat Islam yang terkemudian
sama ada di Madinah atau di Kufah.
RUKUN
FATWA
Terdapat empat rukun fatwa iaitu
al-sa’il, al-mas’ul, al-‘amaliyyah dan al-madhmun. Rukun pertama, al-sa’il atau
juga dipanggil Mustafti adalah orang yang meminta fatwa atau orang yang
bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan masalah-masalah dalam agama.
Seterusnya rukun kedua, al-mas’ul yang juga dipanggil Mufti merupakan orang
yang memberi fatwa atau orang yang menjawab soalan-soalan bagi permasalahan
tersebut. Manakala rukun yang ketiga, al-‘amaliyyah adalah Fatwa-fatwa yang
dikeluarkan oleh Mufti. Rukun terakhir iaitu al-madhmun yang merupakan
kebenaran sesuatu fatwa yang terjamin.
KATEGORI DAN AUTORITI FATWA
Fatwa yang dikeluarkan sama ada oleh mufti atau Majlis Agama melalui Jawatankuasa Syariah boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah fatwa rasmi yang dikeluarkan sama ada oleh mufti sendiri atau majlis melalui Jawatankuasa Syariah yang diwartakan di dalam Warta Kerajaaan Negeri. Fatwa yang diwartakan ini merupakan fatwa yang diakui oleh mahkamah dan semua pihak dalam negeri tersebut.
Kategori
yang kedua pula ialah fatwa yang dikeluarkan oleh majlis sama ada melalui
Jawatankuasa Syariah atau melalui pendapat yang diberikan oleh mufti secara
perseorangan atau fatwa yang dikeluarkan sendiri oleh mufti tanpa melalui
Jawatankuasa Syariah tetapi fatwa itu tidak diwartakan di dalam Warta Kerajaan
Negeri. Fatwa kategori ini tidak wajib diperakui oleh pihak-pihak lain dan
tidak boleh dikuatkuasakan ke atas mana-mana individu, badan atau mahkamah. Ia
hanyalah sebagai jawapan atau penjelasan kepada orang yang masih tidak jelas
mengenai sesuatu hukum secara peribadi.
Manakala kategori ketiga pula ialah penjelasan hukum yang dilakukan oleh mufti atau pembantunya. Pada hakikatnya ia hanyalah merupakan penjelasan hukum yang telah sedia ada di dalam syariah Islam dan tercatat dalam kitab-kitab agama tetapi tidak diketahui oleh orang yang bertanya mengenainya. Fatwa kategori ini tidak wajib diterima oleh orang yang bertanya dan ia tidak boleh diproses untuk diwartakan dalam Warta Kerajaan.
HUKUM FATWA DAN MUFTI
Mengikut pandangan kebanyakan ulama, hukum fatwa adalah fardu kifayah. Hal ini adalah kerana fatwa termasuk dalam keperluan-keperluan agama yang sepatutnya wujud bagi manfaat dan maslahat umum. Disebabkan wujudnya fatwa, maka gugurlah dosa ummah terhadapnya. Jika sebaliknya, maka semua ummah akan menanggung dosa kerana menolaknya.
Seperti yang diketahui, amalan fatwa dikeluarkan oleh golongan mufti. Apabila hukum fatwa adalah fardu kifayah, maka hukum mufti juga adalah fardu kifayah kerana antara keduanya berkait rapat antara satu sama lain. Namun demikian, jika tiada yang layak melainkan seorang sahaja, maka ketika itu hukum mufti adalah wajib atau fardu ain.
Fatwa yang dikeluarkan juga hendaklah kerana Allah demi menyelesaikan masalah dan menjawab kemusykilan. Hanya individu yang berilmu dan berwibawa dan didorong oleh niat yang benar boleh mengeluarkan fatwa. Tanpa ilmu dan niat yang benar maka boleh menyebabkan hukum yang dikeluarkan tidak berlandaskan atau bertentangan dengan syarak. Seterusnya, perbincangan ini akan dilanjutkan dengan menyentuh tentang mufti dan yang berkaitan dengannya.
DEFINISI MUFTI
Perkataan mufti dalam bahasa Arab sebagai isim fa’il yang bermaksud pembuat atau pelaku. Ini bermaksud mufti adalah orang yang memberikan jawapan kepada persoalan atau perkara yang dikemukakan oleh seseorang.
Manakala dari segi istilah pula terdapat banyak perselisihan pendapat di kalangan ulama mengenai takrif mufti. Setelah ditarjihkan daripada perselisihan tersebut mufti adalah seorang ahli ijtihad yang faqih dan berwibawa dari segi ilmu agama sehingga tidak perlu bertaqlid. Selain itu, mufti juga adalah seorang yang alim dan warak sehingga fatwanya diterima dan mampu memahami hukum waqi’e yang berlaku secara berdalil dalam menjawab persoalan-persoalan yang timbul.
Menurut ahli usul mufti adalah seorang mujtahid atau faqih iaitu orang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu fiqh dan memahami Islam. Syeikh Muhammad al Muhllawiyy berkata mufti adalah mujtahid yang mutlak. Manakala Ibnu Hamdan Al Hanbali pula berpendapat mufti adalah orang yang menyampaikan hukum Allah dengan pengetahuan tentang dalil-dalilnya.
Secara
keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa takrif mufti dari segi syarak
membawa maksud gelaran yang diberikan kepada orang yang menerangkan kepada
manusia tentang urusan-urusan agama mereka, benar-benar mengetahui dan memahami
tentang ilmu-ilmu yang memerlukanya mengeluarkan hukum agama atau berfatwa.
Mufti hendaklah mengetahui tentang am dan khusus al-Quran, mutlak dan muqayyad,
a’rif tentang sebab nuzul ayat, a’lim tentang ayat-ayat hukum dan sebagainya
seperti yang akan diterangkan dalam subtopik syarat-syarat mufti nanti.
SYARAT MUFTI
Berdasarkan pendapat Imam Syafi’e, tidak harus bagi seseorang memberi fatwa dalam agama Allah melainkan seorang yang arif tentang Kitab Allah berkenaan dengan nasikh mansukhnya, muhkan dan mutasyabihatnya, ta’wil dan tanzilnya dan setiap yang berkaitan dengannya .
Selain
itu, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu yang sangat mendalam berkenaan
hadis Rasulullah s.a.w, tentang nasikh mansukhnya dan mengetahui mengenai hadis
sama seperti pengetahuan yang perlu dimiliki mengenai al-Quran dan juga
pengetahuan yang mendalam tentang bahasa Arab .
Apabila
seseorang itu telah benar-benar bersedia dengan ilmu pengetahuan di samping
akal yang tajam, maka bolehlah beliau mengeluarkan fatwa berkenaan dengan
perkara-perkara halal dan haram dalam syariat berdasarkan al-Quran dan
al-Sunnah. Apabila sebaliknya, maka beliau tidak boleh mengeluarkan fatwa.
Mufti mestilah mengetahui hukum sama ada secara yakin atau zan rajih iaitu sangkaan yang kuat dan jika tidak maka dia mestilah tawaqquf dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Beliau mestilah mendapat gambaran menyeluruh tentang sesuatu soalan supaya dapat mengeluarkan hukum yang jelas.
Seorang Mufti juga tidak dibenarkan berfatwa semasa berfikiran kusut sama ada disebabkan marah, sedih, bosan dan lain-lain. Oleh itu, beliau hendaklah berfikir dalam keadaan tenang tanpa sebarang gangguan ketika mengeluarkan fatwa bagi memastikan hukum yang dikeluarkan tidak dipengaruhi daripada mana-mana unsur yang melibatkan emosi. Selain mufti, fatwa juga berkait rapat dengan mustafti yang akan dijelaskan dengan lebih lanjut lagi di bawah ini.
DEFINISI
MUSTAFTI
Al-Mustafti adalah orang yang meminta fatwa dan bertanya tentang hukum syarak. Apabila terdapat permasalahan-permasalahan baru yang memerlukan hukum, maka Al-Mustafti akan meminta fatwa daripada mufti
Selain
itu, Al-Mustafti adalah mereka yang tidak layak untuk mengeluarkan fatwa dan
tidak mencapai taraf sebagai seorang mufti.
ADAB MUSTAFTI
Dalam bermu’amalah kebiasaannya kita memerlukan adab dan panduan untuk berhubung atau berkomunikasi dengan manusia lain. Secara ringkasnya di sini akan diterangkan berkenaan dengan adab-adab yang perlu dijaga bagi seorang mustafti. Mustafti hendaklah menjaga adab ketika bertanyakan soalan kepada mufti sama ada dari segi perkataan, gaya bahasa atau gerak tubuh yang digunakan ketika berhadapan dengan mufti
Sebagai
contoh, “Apakah pandangan menurut imam mazhab anda berkenaan dengan masalah
ini?” Antara adab-adab lain ialah mustafti tidak sepatutnya berada dalam
keadaan jemu, dukacita, marah atau dalam keadaan berdiri ketika dia bertanya.
Ini adalah kerana dibimbangi hatinya dalam keadaan yang tidak tenteram ketika
itu. Di samping itu, sekiranya mustafti masih mempunyai keraguan atau ingin
bertanya lebih lanjut tentang persoalanya maka tidak sepatutnya dia bertanya
pada ketika itu. Mustafti hendaklah berbuat demikian pada majlis yang lain atau
sekiranya ingin bertanya pada majlis yang sama hendaklah setelah dia menerima
fatwa beserta dalil dan hujah daripada mufti.
MUFTI DAN KELAYAKANNYA
Pada
zaman kehidupan Rasullah S.A.W dan para Sahabat, Baginda merupakan satu-satunya
mufti yang berkelayakan dalam mengeluarkan sesuatu fatwa dalam sesuatu masalah
atau isu yang timbul. Baginda juga merupakan utusan Allah S.W.T yang terakhir
dan kebanyakkan perkataan yang diucapkan adalah wahyu yang telah diturunkan
oleh Allah kepada Baginda. Begitulah juga hal keadaan Baginda dalam
mengeluarkan fatwa pada ketika itu yang sememangnya tidak boleh dinafikan dari
segi kelayakan Baginda selaku mufti. Selepas kewafatan Baginda, kedudukan mufti
ini telah disandang oleh para sahabat dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang
timbul.
Selepas
sekian lama, zaman dan masa turut berubah. Kelayakan seseorang sebagai mufti
juga telah berubah kerana tidak ada lagi individu-individu yang mampu
mengeluarkan fatwa sebagaimana kemampuan yang telah dimiliki oleh para Sahabat
dan zaman selepasnya. Maka tugas seorang mufti bukanlah sesuatu yang boleh
dipandang ringan kerana seseorang yang menjadi mufti mestilah mempunyai kelayakan
untuk memegang jawatan tersebut. Ini adalah kerana seseorang yang menjadi mufti
perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu yang tinggi dalam menyelesaikan sesuatu
masalah atau isu yang timbul.
Seseorang
yang menjadi mufti juga hendaklah celik dan mahir tentang realiti kehidupan
semasa disamping dapat mengaitkan fatwanya dengan kehidupan manusia. Mufti juga
tidak boleh hanya sekadar menulis teori-teori yang bersifat kosong ataupun
memberikan fatwa yang bersifat tergantung. Dengan hasil usahanya untuk membuat penelitian
dan juga memahami realiti semasa kehidupan masyarakat. Secara tidak langsungnya
juga, ia dapat membuat batasan yang tertentu serta menetapkan
kepentingan-kepentingan yang perlu dijaga.
Dari segi kelayakan seseorang mufti untuk mengeluarkan fatwa, ia telah
dikategorikan oleh Ibnu ‘Abidin kepada tujuh jenis:
i) Mufti
bertaraf mujtahid yang telah mewujudkan kaedah perundangan Islam sendiri
(qawa’id al-usul) dan cara mengeluarkan hukum furuk melalui al-Quran,
al-Sunnah, Ijmak dan qiyas tanpa berpegang kepada mana-mana
dasar yang diamalkan oleh seseorang imam mujtahid lain. Imam mazhab yang empat
telah termasuk dalam kategori ini.
ii) Mufti
yang mampu mengeluarkan hukum melalui dalil-dalil dan kaedah-kaedah yang telah
diterangkan oleh imam mereka yang bertaraf mujtahid. Kadangkala mereka
mengeluarkan hukum furuk yang bercanggah dengan hukum yang telah ditetapkan
oleh imam yang mereka ikuti. Namun demikian, mufti kategori ini masih berpegang
dengan kaedah perundangan telah ditetapkan oleh imam mereka yang bertaraf
mujtahid.
iii) Mufti
yang hanya mengeluarkan fatwa mengenai masalah furuk tanpa bercanggah dengan
kaedah yang telah ditetapkan oleh imam mereka serta tidak lari dari
kaedah-kaedah perundangan yang telah dijelaskan oleh imam mereka. Fatwa yang
telah dikeluarkan oleh mufti kategori ini hanylah berkenaan masalah yang belum
jelas hukumnya dengan berlandaskan kaedah yang telah ditetapkan oleh imam
mereka.
iv) Mufti
yang bertaraf muqallid. Mereka ini tidak boleh melakukan ijtihad,
akan tetapi disebabkan oleh mereka telah menguasai kaedah-kaedah dan tempat
sandaran hukum yang telah ditetapkan oleh imam mereka, maka mereka berkemampuan
untuk mentafsirkan hukum yang tidak jelas dan yang ada andaian dua tafsiran yang
telah diasaskan oleh imam mereka. Mufti kategori ini boleh mengeluarkan hukum
berdasarkan al-Qiyas terhadap masalah yang berlaku.
v) Mufti
yang tidak boleh melakukan ijtihad tetapi berupaya mentarjihkan pendapat imam
yang perlu diutamakan dan sesuai dengan kepentingan masyarakat.
vi) Mufti
yang bertaraf muqallid serta tidak boleh melakukan ijtihad dan
tidak dapat mengeluarkan fatwa secara sendiri. Mereka hanya mampu membezakan
tingkatan pendapat imam mereka. Selain itu, mereka lebih mirip kepada orang yang
memberitahu fatwa yang telah ditetapkan oleh imam mereka.
vii) Mufti muqallid yang
tidak boleh melakukan ijtihad dalam mengeluarkan fatwa serta tidak berupaya
langsung membezakan antara tingkatan pendapat imam mereka serta tidak
mengetahui kaedah perundangan dan dalil yang digunakan oleh imam mereka. Mufti
kategori ini adalah tidak diiktiraf oleh syarak dan orang awam dilarang
mengikut fatwa yang dikeluarkannya.
Kategori-kategori mufti yang telah dinyatakan seperti di atas sudah
berkurangan pada masa kini akibat daripada perubahan masa yang berlaku. Selain
itu, tidak ada mufti yang mujtahid dalam mengeluarkan fatwa pada masa kini.
Maka dalam konteks Malaysia, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa fatwa
seperti Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi menyelaras serta menguruskan
hal ehwal fatwa dalam negara ini. Melalui jawatankuasa ini juga dilihat lebih
sesuai berbanding dari pernyataan individu seperti mufti dalam mengeluarkan
sesuatu fatwa.
KAEDAH PENGELUARAN FATWA
Di
dalam mengeluarkan sesuatu fatwa ianya terdapat beberapa kaedah atau prosedur
yang perlu dipatuhi. Di antaranya ialah terdapat satu badan yang menjadi
penyelaras bagi mengendalikan urusan pengeluaran sesuatu fatwa. Berikut adalah
penerangan mengenai kaedah ini:
ORGANISASI
Struktur organisasi di dalam setiap pentadbiran melibatkan beberapa
jawatankuasa yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Setiap institusi
pula mempunyai organisasi untuk mentadbir dan mengurus perjalanannya, begitu
juga dengan fatwa. Perkara yang ingin disentuh dalam perkara ini ialah mengenai
jawatankuasa bagi Majlis Fatwa Peringkat Kebangsaan dan ia diketuai oleh
seorang pengerusi. Skop tugas pengerusi tersebut ialah bertanggungjawab untuk
memanggil ahli-ahli majlis untuk bermuzakarah sekiranya terdapat sesuatu isu
yang timbul.
Seterusnya, tugas setiausaha
pula ialah bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan memanggil atau menjemput
setiap ahli majlis untuk bermuzakarah. Ahli-ahli majlis ini pula terdiri
daripada mufti bagi setiap negeri di Malaysia. Setiap daripada mereka akan
dipanggil jika ada sesuatu isu baru yang timbul dan kemudiannya akan pulang ke
negeri masing-masing dengan membawa keputusan hasil daripada muzakarah
peringkat kebangsaan. Urusetia turut tersenarai dalam organisasi ini dan ia
dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan
Antarabangsa, JAKIM.
Prosedur mengeluarkan fatwa
pada peringkat kebangsaan pula adalah berbeza berbanding dengan prosedur
mengeluarkan fatwa bagi setiap negeri. Ia adalah membabitkan fatwa bagi sebuah
negara dan negeri-negeri yang ada akan terletak di bawah bidang kuasa fatwa
kebangsaan ini. Selain itu, telah wujud satu Majlis Fatwa Kebangssan bagi
memantau dan menyelaraskan Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri-negeri khususnya
dalam sesuatu permasalahan atau isu yang besar yang melibatkan persoalan negara
ataupun akidah umat Islam itu sendiri. Di antara isu yang telah diselesaikan
atau diputuskan ialah sama ada halal atau haram Amanah Saham Malaysia, pegangan
al-Arqam, golongan anti hadis dan lain-lain lagi.
LANGKAH-LANGKAH PENGELUARAN
FATWA
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu ada dalam prosedur pengeluaran
fatwa peringkat kebangsaan :
1) Permohonan
keputusan fatwa.
Pada peringkat ini, sesuatu isu yang timbul sama ada dari masyarakat
mahupun mufti akan dibawa oleh pengerusi untuk diperbincangkan dalam sesi
muzakarah yang diadakan. Sebelum isu tersebut dibawa dalam sesi muzakarah,
ianya telah melalui satu proses kajian atau penyelidikan oleh beberapa ahli
yang dilantik seperti panel kajian. Golongan ini akan melakukan semakan hasil
draf atau kertas kerja yang mengandungi masalah atau isu yang timbul. Mereka
juga akan memperbaiki kesalahan yang berlaku pada draf atau kertas kerja
tersebut. Seterusnya, selepas draf atau kertas kerja mengenai isu itu lengkap,
ia akan diperbahaskan dengan baik pada sesi muzakarah.
2 2) Pertimbangan
oleh jawatankuasa fatwa
Pada peringkat ini, semua ahli majlis akan bermuzakarah bagi kes atau
isu yang timbul dan selanjutnya akan membuat keputusan yang sewajarnya hasil
daripada sesi muzakarah tersebut. Di sini setiap ahli akan menggunakan
kepakaran masing-masing dalam mencari jawapan bagi kes atau isu yang timbul
berdasarkan kepada sumber-sumber pengeluaran hukum seperti al-Quran, al-Sunnah,
Ijmak, qiyas dan Ijtihad ahli fuqaha semasa.
3 3) Keputusan
fatwa dikeluarkan
Pada peringkat ini pula, hasil keputusan muzakarah tersebut akan
dikeluarkan oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan
hasil keputusan tadi hanya disebut sebagai pemberitahuan hukum walaupun ia
telah diumumkan pada masyarakat.
4 4) Keputusan
fatwa dibawa ke peringkat negeri
Pada peringkat ini, setiap mufti yang mewakili negeri masing-masing akan
membawa keputusan muzakarah pada peringkat kebangsaan ini untuk diperbincangkan
atau diperbahaskan dengan setiap ahli majlis pada peringkat negeri.
Walaupun sudah terdapatnya fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan, tetapi masih berlaku kecenderungan bagi setiap negeri untuk
meminda teks fatwa tersebut selepas ia dibawa balik ke negeri masing-masing dan
ditentukan oleh jawatankuasa fatwa negeri masing-masing. Biarpun keputusan
fatwa yang dibuat di peringkat Kebangsaan itu merupakan keputusan majoriti para
mufti yang menjadi anggota, namun perubahan masih berlaku apabila ia
dibincangkan semula di peringkat negeri walaupun fatwa tersebut adalah
keputusan majoriti dari para mufti.
Pada peringkat yang terakhir, fatwa tersebut akan disiarkan sama ada
melalui media elektronik dan media cetak selepas diwartakan. Ia bertujuan bagi
mengelakkan dari berlakunya lagi kesamaran di kalangan masyarakat terhadap
sesuatu permasalahan isu yang baru timbul.
PERCANGGAHAN FATWA
Mengenai
hal percanggahan fatwa-fatwa yang dikeluarkan, ia sebenarnya telah berlaku
semenjak zaman para Sahabat lagi. Percanggahan yang berlaku pada zaman itu
adalah disebabkan beberapa faktor dan di antara faktor yang kebanyakannya
berlaku ialah perbezaan sumber hadis yang diterima. Perkara ini berlaku kerana ada
setengah sahabat yang menerima hadis tertentu tetapi hadis yang sama tidak
diterima oleh sahabat yang lain.
Dalam
soal percanggahan fatwa yang melibatkan dua orang mufti atau lebih dalam
masalah yang sama, hendaklah kita memilih fatwa yang telah diputuskan oleh
mufti yang lebih alim dan warak. Apabila kedua-dua mufti mempunyai persamaan
dalam sifat-sifat tersebut hendaklah pula mengikut fatwa yang telah diputuskan
oleh mufti yang lebih tegas dan berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa.
Sekiranya kedua-dua mufti ini sama juga dalam perkara-perkara ini, maka boleh
memilih fatwa apa yang hendak dituruti.
Jikalau
seorang mufti yang mengikut fatwanya telah meninggal dunia, kedudukannya akan
diganti oleh mufti lain yang baru. Apabila ia mengeluarkan fatwa yang baru dan
ternyata berbeza fatwa dengan yang telah dibuat oleh mufti yang sebelumnya
mengenai masalah yang sama, maka para ulama usul telah berselisih pendapat
dalam menentukan fatwa mana yang perlu diikuti. Bagi yang berpendapat perlu
mengikuti hukum fatwa yang dibuat oleh mufti yang telah meninggal, mereka
memberi alasan bahawa hukum tersebut tidak terbatal kerana yang meninggal ialah
mufti bukannya fatwa. Manakala yang berpendapat perlu mengikut hukum yang telah
dibuat oleh mufti baru berpendapat mufti yang ada pada masa itu adalah lebih
mengetahui tentang suasana dan keperluan semasa. Hal ini kerana hidup atau mati
seorang mufti itu bukanlah faktor utama sama ada untuk menggunakan atau
meninggalkan fatwa tersebut.
Para ulama usul mempunyai lima
pendapat dalam masalah ini, yang pertamanya ialah mengambil fatwa yang paling
ketat. Kedua ialah mengambil fatwa yang paling ringan. Ketiga, hendaklah
berijtihad untuk menentukan mufti mana yang lebih utama untuk diikut. Keempat,
hendaklah bertanya kepada mufti lain dan mengikut salah satu mufti yang
bercanggah dan menepati sebagaimana fatwa yang ketiga. Kelima ialah boleh
memilih mana-mana fatwa yang disukai dan dianggap sesuai pada masalah yang
dihadapi.
Percanggahan fatwa juga
kadangkala berlaku hanya hasil daripada seorang mufti sahaja. Ianya berlaku
kerana adanya perubahan pada fatwa yang dikeluarkan. Sekiranya mufti ini
berijtihad dan menetapkan hukum bagi satu-satu masalah dan kemudiannya telah
berubah ijtihad lalu menetapkan hukum yang berlainan dengan hukum yang telah
diputuskan sebelum ini.
KEPENTINGAN
FATWA DAN MUFTI
Kedudukan
fatwa dan mufti adalah amat mulia dan kepentingannya juga terserlah dalam
institusi di sepanjang zaman.
Penjelasan dan ajaran Allah SWT
tentang hukum syarak telah memberitahu kebahgiaan dan kebaikan hambanya yang
beriman sama ada individu atau kumpulan masyarakat di dunia ini seterusnya
membawa ke akhirat kelak.[29]
Cara-cara penerangan yang termaktub
di dalam al-quran dalam dua bentuk :
1)
Tanpa ditanya
dan tanpa disoal, seperti arahan-arahan dan larangan daripada Allah SWT kepada
orang-orang beriman. Cara seperti ini cukup banyak digunakan seperti ayat-ayat
mewajibkan berpuasa, hukum qiyas dan lain-lain.
2)
Penjelasan yang
dimulakan dengan pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan. Cara ini adalah
berdasarkan keperluan orang ramai khususnya mereka yang terlibat dengan
permasalahan tersebut. Justeru Allah SWT menjawab melalui wahyu-Nya kepada
Rasulullah SAW sama ada dirakamkan di dalam al-quran atau di dalam al-Sunnah. Contoh
penjelasan adalah seperti penjelasan tentang Allah SWT sendiri, masalah anak
bulan, gesaan daan galakan berinfaq (sedekah ke jalan Allah SWT) dan lain-lain.
Biasanya uslub (cara yang digunakan) ialah (يسئلونك) mereka bertanya Kamu (Hai Muhammad). Tetapi di
celah-celah uslub (mereka bertanya kamu) terdapat dua ayat dalam al-quran uslub
diubah kepada mereka meminta fatwa kepada kamu (يستفتونك). Persoalannya
kenapa uslub ini berlainan dengan yang sebelumnya? Dalam menjawab persoalan ini
merujuk kepada Syeikh al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut dalam bukunya yang
bertajuk al-Fatawa.Beliau menjawab : pengkhususan dua tajuk ini iaitu
masalah wanita dan masalah kalalah dengan
uslub istifa’ (meminta fatwa), tidak seperti bertanya, bersoal atau
meminta penerangan, jelas menunjukkan betapa prihatinnya kepada dua tajuk ini,
iaitu permasalahan keluarga dan hak harta. Ini adalah berdasarkan kepada
perbezaan antara perkataan istifta’ yang menghendaki kepada pengamatan
yang mendalam dan teliti, sedangkan persoalan atau pertanyaan tidak perlu
kepada pengamatan.
Kepentingan
dan tanggungjawab fatwa dan mufti kepada ummah amatlah besar. Lantaran kedudukannya
yang sangat mulia di sisi agama, terlebih dahulu dibentangkan di dini
tanggungjawab dan amanah fatwa dan mufti yang sangat besar.
Ibn al-Qayyim berkata : kalua jawatan
tandatangan (wakil) daripada raja-raja tidak perlu lagi disebut kelebihan dan
pertikaian kemuliaannya yang pasti berada di kemuncak jawatan, maka bagaimana
pila jikalau ia sebagai Tuhan yang mewakili langit dan bumi? Sudah semestinya
sesiapa yang ditempatkan pada kedudukan ini akan melakukan persediaan yang
sewajarnya dan tahu nilai jawatannya. Dia tidak akan sempit dada daripada
bercakap benar kerana yakin Allah SWT pasti menolong serta memberi hidayah
kepadanya.
Musaffir
berkata : Seseorang mufti semestinya mengetahui siapa yang diwakilinya dalam
fatwa. Percayalah bahawa dia akan ditanya pada kemudian hari dan dihadapkan di
hadapan Allah SWT.
Seterusnya kesinambungan fatwa yang
Allah SWT sendiri sebagai mufti ditaklifkan pula kepada Rasulullah SAW. Dengan
sebab itu dapat dilihat banyak hadis Rasulullah SAW yang memberi fatwa atau
yang membicarakan perkara tentang
memberi fatwa.
Oleh sebab setiap muslim wajib
beriltizam dengan hukum syarak dalam melayari bahtera kehidupan ini tentang
perkara halal dan haram, dapat dilihat betapa pentingnya seseorang muslim itu
bertanya, meminta penjelasan tentang segala hukum agama sama ada masalah kecil
ataupun besar.
Sayid Qutub berkata : Ahli kitab
yang didatangi para rasul di zaman dahulu, adakah rasul-rasul itu dari
jenis-jenis manusia, lelaki atau dari jenis malaikat, atau dari jenis makhluk
yang lain? Bertanyalah kepada mereka ( jika kamu tidak mengetahui ). Kami
mengutuskan mereka membawa mukjizat-mukjizat dan kitab-kitab suci.
Jelasnya, merujuk kepada pakar dan
ahli bidang-bidang tertentu jika kamu tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah
ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau
salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan
merujuk dan memohon bentuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doctor.
Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta
petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama.
Di sinilah
terserlahnya kepentingan ahli zikir yang arif dan alim bagi mengungkai segala
kemelut kehidupan manusia mengikut acuan syarak yang diredhai Allah SWT. Dengan
adanya mufti yang berfatwa secara amanah dan teliti, akan membawa kepada
kesejahteraan ummah.
PENUTUP
Setelah merentasi
segala perbincangan ini, kesimpulannya bahawa fatwa yang membawa maksud
mengungkil persoalan agama oleh mufti mestilah mempunyai penelitian tertentu. Wujudnya
pertautan yang kukuh dan erat antara takrif Bahasa dan istilah serta persamaan
takrif antara ulama fekah dan usul membuktikan masalah ini adalah berkait
dengan tugas dan tanggungjawab mufti.
Sebagaimana yang dimaklumkan, hukum fatwa
dan mufti adalaha fardu kifayah dan kadang-kadang membawa kepada fardu ain jika
seorang sahaja yang layak berfatwa di satu-sau tempat.
Oleh kerana jawatan mufti adalah
jawatan utama dan mulia di sisi agama, sudah tentu mufti mempunyai etika dan adab
yang tinggi untuk dijunjung sebagai teladan di samping bersedia untuk
memantapkn ilmu-ilmu agama dan memahami reality kehidupan semasa.
Pada masa yang sama, mufti hendaklah
teliti dan berhati-hati ketika berfatwa supaya tidak songsang dan menyelewen. Ini
kerana balasannya cukup dahsyat di akhirat kelak.
RUJUKAN
1) al-Ashqar, Usamah Muhammad Sulaiman. 2004. Manhaj al-ifta’’inda al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Jordan: Dar al-Nafais.
2) al-Ashqar, Usamah Umar. 2009. Fauda al-Iftaq. Dar al-Nafais.
3) al-Barawi, Muhammad Sa’id Muhammad. 2009. Mazaliq al-fatwa. Kaherah: Dar al-Basa’ir.
4) al-Hafnawi, Muhammad Ibrahim. 1995. Tabsir al-nujaba’ bi haqiqat al-ijtihad wa al-taqlid wa al-talfiq wa al-ifta’. Kaherah: Dar al-Hadith.
5) al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. 1986. al-Fatwa fi al-Islam. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
6) al-Zuhayliyy, Wahbah. 1986. Usul al-fiqh al-Islamiyy. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir.
7) Hasnan Kasan. 2008. Institusi fatwa di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
8) Kassim Salleh. 1989. Ijtihad: Sejarah dan perkembangan. Petaling Jaya: al-Rahmaniah.
9) Othman bin Hj Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam. Selangor: Penerbit Fajar Bakti.
10) Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2008. Fatwa & mufti hukum, etika dan sejarah. Bandar Baru Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.
11) Zaini Nasohah. 2005. Undang-undang
Penguatkuasaan Fatwa di Malaysia.http://pkukmweb.ukm.my/~penerbit/jurnal [1 Mac 2010].