Sunday 9 April 2017

FATWA DAN MUFTI DI MALAYSIA

PENDAHULUAN

            Institusi fatwa adalah salah satu institusi kerajaan yang amat penting dalam pentadbiran agama dan mufti adalah antara pegawai agama yang mendapat tempat sebaris bersama-sama da’i muqri’, Imam dan pengurus hal ehwal haji pada zaman Rasullullah s.a.w. 
            Fatwa sangat penting dalam melayari kehidupan ini dan kewujudan fatwa membolehkan perlaksanaan hukum-hukum syarak ditegakkan berlandaskan kaedah-kaedah syariah. Fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang Islam atau hukum syarak. Dengan kedudukan itu, institusi fatwa diberikan perhatian yang utama oleh dunia Islam 

            Kepentingan fatwa semakin terserlah dalam kehidupan manusia sejagat sebagai satu mekanisme utama bagi menjelaskan hukum syarak dan penyebaran ajaranyan merangkumi aspek akidah serta syariat di dalam kehidupan manusia. Melihat kepentingan institusi fatwa dan juga peranan mufti dalam Islam, maka mufti adalah tokoh terpenting dalam masyarakat dan kerajaan Islam.

            Al-Quran dan al-Sunnah pula menjadi sumber utama dalam syariah Islam yang tidak mungkin difahami oleh semua golongan muslim kecuali mereka mengkaji secara mendalam tentang bidang dan ilmu agama. Justeru, para ulama memainkan peranan yang amat penting dalam merialisasikan tuntutan agama bagi memberi kefahaman yang jelas.

            Seperti yang diketahui, mengeluarkan fatwa merupakan tugas yang mulia dan agung, tetapi mempunyai risiko yang tinggi kerana seorang mufti seperti pendapat Imam Al-Shatibi adalah pengganti kedudukan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyampaikan ajaran Allah, mengajar serta memberi peringatan kepada mereka yang menyeleweng .

Menfatwa merupakan tugas yang mulia dan agung, tetapi mepunyai risiko yang tinggi. Hal ini kerana, seorang mufti seperti mana pendapat Imam al-Syatibi adalah menempati kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pengganti dan pewarisnya dalam menyampaikan ajaran Allah, mengajar, memberi petunjuk kepada manusia kearah jalan yang benar serta memberi peringatan kepada mereka dari ancaman seksa bagi yang menyeleweng. Seorang mufti di samping kewajipan menyampaikan hukum Allah SWT yang sedia ada mengkaji dan menggali ketentuan-ketentuan hukum bagi permasalahan dan kemusykilan baru berasarkan kaedah-kaedah syariat islam dalam kerangka ijtihad. Pada posisi inilah seorang mufti menepati kedudukan Rasulullah SAW yang wajib diikuti dan dipatuhi ketentuan fatwanya. Inilah makna khilafah yang sebenar.

Imam Ibn Qayyim menganggap bahawa seorang mufti adalah sebagai pemberi khabar tentang ketentuan hukum Allah SWT dalam satu-satu perkara melalui ijtihad dan fatwanya. Dalam mukaddimah kitabnya : اعلام الموقعين عن رب العالمين  beliau berkata , “apabila tandatangan seorang raja dan persetujuannya tentang sesuatu memiliki keistimewaan dan kemuliaan yang tidak dinafikan, apatah lagi tandatangan dan persetujuan Rab al-‘Alamin, penguasa langit dan bumi.


DEFINISI FATWA

            Definisi fatwa dari segi bahasa adalah penjelasan atau memberi jawapan mengenai sesuatu perkara yang musykil atau mempunyai kesamaran tentang hukum oleh seseorang yang faqih. Fatwa boleh didefinisikan dari segi istilah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. 

            Menurut Muhammad Sai’d, pengarang kitab Mazaliq al-Fatwa, fatwa dari segi istilah ialah penjelasan mujtahid berkenaan hukum syarak pada perlaksanaan atau masalah bagi menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh seorang mustafti sama ada secara jelas atau tidak jelas, sama ada mustafti itu tunggal atau ramai. 

            Seperti yang dinukilkan daripada Ensiklopedia Islam, fatwa ialah keputusan tentang sesuatu hukum agama yang belum pernah diputuskan berdasarkan al-Quran, hadis dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti atau mereka yang berhak tentang membuat keputusan hukum syarak.           

            Oleh yang demikian, fatwa ialah suatu keputusan yang dibuat oleh mufti atau penjelasan hukum syarak oleh sesuatu kumpulan yang terdiri daripada ulama’ iaitu Jawatankuasa Fatwa atau Jawatankuasa Syariah bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya sama ada secara bersendirian atau berjamaaah. 


           Manakala, menurut Zulkifli Mohammad al- Bakri, setiap istilah yang ada di muka bumi ini mempunyai maksud yang tersendiri, begitu juga dengan fatwa. Fatwa boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dari sudut bahasa dan dari sudut istilahnya. Perkataan fatwa sebenarnya berasal daripada bahawa Arab, oleh yang demikian segala rujukan makna dan maksudnya diambil dan dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar. Perkataan fatwa mempunyai tiga perkataan bagi menunjukkan makna tersebut iaitu fatwa, futya dan futwa.
              Dalam ketiga-tiga perkataan yang dinyatakan, kesemuanya menunjukkan maksud yang hampir sama. Pertama ialah memberi penjelasan tentang sesuatu perkara oleh seseorang yang faqih. Dalam hal ini, mereka yang bergelar faqih akan menerangkan dan menjelaskan masalah atau sesuatu perkara sama ada yang telah berlaku mahupun yang belum berlaku. Maksud yang kedua ialah penerangan perkara yang musykil dan kesamaran tentang hukum. Manakala yang terakhir pula ialah memberi jawapan bagi sesuatu masalah oleh seorang faqih. Asal ketiga-tiga sebutan di atas adalah daripada perkataan fatwa yang bermaksud pemuda yang sihat, cergas dan gagah.
            Hal ini dikaitkan dengan fatwa kerana apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa kepada perkara yang menjadi kesamaran, maka fatwanya itu menjadikan suatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa perkataan fatwa itu seperti pemuda yang berusia muda. Lantaran itu, seseorang mufti yang mengeluarkan fatwa tentang sesuatu hukum akan turut memberi maksud telah memperbaharui hukum tersebut. 
            Manakala apabila dilihat fatwa menurut istilah pula, ulama usul telah memberikan pelbagai definisi mengenai fatwa. Antaranya ialah fatwa merupakan hasil ijtihad. Hal ini kerana apabila mufti ingin mengeluarkan sesuatu hukum maka perlu kepada usaha ijtihad bagi menyelesaikan sesuatu perkara. Fatwa juga didefinisikan sebagai jawapan kepada soalan terhadap perkara yang berlaku. Selain itu, fatwa dianggap sebagai mengkhabarkan hukum Allah pada sesuatu perkara yang mesti atau harus.

SEJARAH FATWA
            Para ulama menerima fatwa sebagai salah satu sumber terpenting dalam perundangan Islam kerana semasa hayat Rasulullah s.a.w, Baginda sendiri pernah melakukan ijtihad dan juga membenarkan para Sahabat melakukannya untuk mengeluarkan fatwa. Rasulullah akan berijtihad untuk mendapatkan hukum sekiranya wahyu tidak diturunkan lebih-lebih lagi jika keadaan memerlukan hukum dengan segera.

            Pada zaman Rasulullah s.a.w, mufti yang pertama adalah Rasulullah s.a.w sendiri kerana Baginda adalah penerang dan penjelas yang pertama kepada hukum Islam. Apabila dilihat amalan fatwa pada zaman ini, ia bukanlah hanya dilakukan oleh Baginda secara peribadi bahkan para Sahabat juga diberi keizinan untuk berfatwa dan berijtihad dalam menyelesaikan kes-kes yang dihadapi oleh Baginda 

            Kegiatan fatwa bukan sahaja didokong oleh Baginda, namun turut melibatkan para Sahabat yang diyakini kemampuan ilmiahnya. Selepas kawafatan Baginda, tugas berfatwa diamanahkan pula kepada para ilmuan di kalangan para Sahabat 

            Para sahabat mengeluarkan fatwa sendiri ketika tidak terdapat hukum di dalam al-Quran dan hadis mengenai sesuatu masalah, dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka itu adalah menjadi hukum bagi masalah-masalah yang timbul. Begitu juga apabila berlaku perubahan zaman atau tempat, maka sudah semestinya timbul pelbagai masalah baru di kalangan masyarakat yang berbeza dan memerlukan kepada ijtihad sendiri untuk mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu hukum yang tidak terdapat di dalam al-Quran atau hadis.

            Ini dapat dilihat ketika zaman Khalifah Uthman bin ‘Affan, beliau telah mengeluarkan fatwa supaya kuda dikeluarkan zakat. Beliau berpendapat bahawa ketika pada zaman Rasulullah tidak terdapat banyak kuda bahkan kuda sangat diperlukan untuk peperangan, maka sebab itu Rasulullah tidak mewajibkan zakat ke atas kuda. Namun demikian, ketika zaman beliau memerintah, didapati kuda telah banyak dan dijadikan barang perniagaan, maka sebab itulah beliau mengeluarkan fatwa supaya kuda dikenakan zakat.

Kesemua fatwa yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat tersebut difahami dan dipegang oleh tabi’in dan kemudiannya dipegang pula oleh tabi’ tabi’in. Mereka ini berpegang teguh dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tempatan sebelum mereka di samping mereka juga berijtihad sendiri sekiranya tidak terdapat hukum di dalam al-Quran, hadis dan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan. Maka fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan tersebut menjadi pegangan bagi umat Islam yang terkemudian sama ada di Madinah atau di Kufah. 

RUKUN FATWA

            Terdapat empat rukun fatwa iaitu al-sa’il, al-mas’ul, al-‘amaliyyah dan al-madhmun. Rukun pertama, al-sa’il atau juga dipanggil Mustafti adalah orang yang meminta fatwa atau orang yang bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan masalah-masalah dalam agama. Seterusnya rukun kedua, al-mas’ul yang juga dipanggil Mufti merupakan orang yang memberi fatwa atau orang yang menjawab soalan-soalan bagi permasalahan tersebut. Manakala rukun yang ketiga, al-‘amaliyyah adalah Fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti. Rukun terakhir iaitu al-madhmun yang merupakan kebenaran sesuatu fatwa yang terjamin. 

KATEGORI DAN AUTORITI FATWA

            Fatwa yang dikeluarkan sama ada oleh mufti atau Majlis Agama melalui Jawatankuasa Syariah boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah fatwa rasmi yang dikeluarkan sama ada oleh mufti sendiri atau majlis melalui Jawatankuasa Syariah yang diwartakan di dalam Warta Kerajaaan Negeri. Fatwa yang diwartakan ini merupakan fatwa yang diakui oleh mahkamah dan semua pihak dalam negeri tersebut. 


Kategori yang kedua pula ialah fatwa yang dikeluarkan oleh majlis sama ada melalui Jawatankuasa Syariah atau melalui pendapat yang diberikan oleh mufti secara perseorangan atau fatwa yang dikeluarkan sendiri oleh mufti tanpa melalui Jawatankuasa Syariah tetapi fatwa itu tidak diwartakan di dalam Warta Kerajaan Negeri. Fatwa kategori ini tidak wajib diperakui oleh pihak-pihak lain dan tidak boleh dikuatkuasakan ke atas mana-mana individu, badan atau mahkamah. Ia hanyalah sebagai jawapan atau penjelasan kepada orang yang masih tidak jelas mengenai sesuatu hukum secara peribadi. 

            Manakala kategori ketiga pula ialah penjelasan hukum yang dilakukan oleh mufti atau pembantunya. Pada hakikatnya ia hanyalah merupakan penjelasan hukum yang telah sedia ada di dalam syariah Islam dan tercatat dalam kitab-kitab agama tetapi tidak diketahui oleh orang yang bertanya mengenainya. Fatwa kategori ini tidak wajib diterima oleh orang yang bertanya dan ia tidak boleh diproses untuk diwartakan dalam Warta Kerajaan. 

HUKUM FATWA DAN MUFTI

            Mengikut pandangan kebanyakan ulama, hukum fatwa adalah fardu kifayah. Hal ini adalah kerana fatwa termasuk dalam keperluan-keperluan agama yang sepatutnya wujud bagi manfaat dan maslahat umum. Disebabkan wujudnya fatwa, maka gugurlah dosa ummah terhadapnya. Jika sebaliknya, maka semua ummah akan menanggung dosa kerana menolaknya.

            Seperti yang diketahui, amalan fatwa dikeluarkan oleh golongan mufti. Apabila hukum fatwa adalah fardu kifayah, maka hukum mufti juga adalah fardu kifayah kerana antara keduanya berkait rapat antara satu sama lain. Namun demikian, jika tiada yang layak melainkan seorang sahaja, maka ketika itu hukum mufti adalah wajib atau fardu ain. 

            Fatwa yang dikeluarkan juga hendaklah kerana Allah demi menyelesaikan masalah dan menjawab kemusykilan. Hanya individu yang berilmu dan berwibawa dan didorong oleh niat yang benar boleh mengeluarkan fatwa. Tanpa ilmu dan niat yang benar maka boleh menyebabkan hukum yang dikeluarkan tidak berlandaskan atau bertentangan dengan syarak. Seterusnya, perbincangan ini akan dilanjutkan dengan menyentuh tentang mufti dan yang berkaitan   dengannya.

DEFINISI MUFTI

            Perkataan mufti dalam bahasa Arab sebagai isim fa’il yang bermaksud pembuat atau pelaku. Ini bermaksud mufti adalah orang yang memberikan jawapan kepada persoalan atau perkara yang dikemukakan oleh seseorang. 

            Manakala dari segi istilah pula terdapat banyak perselisihan pendapat di kalangan ulama mengenai takrif mufti. Setelah ditarjihkan daripada perselisihan tersebut mufti adalah seorang ahli ijtihad yang faqih dan berwibawa dari segi ilmu agama sehingga tidak perlu bertaqlid. Selain itu, mufti juga adalah seorang yang alim dan warak sehingga fatwanya diterima dan mampu memahami hukum waqi’e yang berlaku secara berdalil dalam menjawab persoalan-persoalan yang timbul.

            Menurut ahli usul mufti adalah seorang mujtahid atau faqih iaitu orang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu fiqh dan memahami Islam. Syeikh Muhammad al Muhllawiyy berkata mufti adalah mujtahid yang mutlak. Manakala Ibnu Hamdan Al Hanbali pula berpendapat mufti adalah orang yang menyampaikan hukum Allah dengan pengetahuan tentang dalil-dalilnya. 

            Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa takrif mufti dari segi syarak membawa maksud gelaran yang diberikan kepada orang yang menerangkan kepada manusia tentang urusan-urusan agama mereka, benar-benar mengetahui dan memahami tentang ilmu-ilmu yang memerlukanya mengeluarkan hukum agama atau berfatwa. Mufti hendaklah mengetahui tentang am dan khusus al-Quran, mutlak dan muqayyad, a’rif tentang sebab nuzul ayat, a’lim tentang ayat-ayat hukum dan sebagainya seperti yang akan diterangkan dalam subtopik syarat-syarat mufti nanti. 

SYARAT MUFTI

            Berdasarkan pendapat Imam Syafi’e, tidak harus bagi seseorang memberi fatwa dalam agama Allah melainkan seorang yang arif tentang Kitab Allah berkenaan dengan nasikh mansukhnya, muhkan dan mutasyabihatnya, ta’wil dan tanzilnya dan setiap yang berkaitan dengannya .


            Selain itu, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu yang sangat mendalam berkenaan hadis Rasulullah s.a.w, tentang nasikh mansukhnya dan mengetahui mengenai hadis sama seperti pengetahuan yang perlu dimiliki mengenai al-Quran dan juga pengetahuan yang mendalam tentang bahasa Arab .

            Apabila seseorang itu telah benar-benar bersedia dengan ilmu pengetahuan di samping akal yang tajam, maka bolehlah beliau mengeluarkan fatwa berkenaan dengan perkara-perkara halal dan haram dalam syariat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Apabila sebaliknya, maka beliau tidak boleh mengeluarkan fatwa.

            Mufti mestilah mengetahui hukum sama ada secara yakin atau zan rajih iaitu sangkaan yang kuat dan jika tidak maka dia mestilah tawaqquf dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Beliau mestilah mendapat gambaran menyeluruh tentang sesuatu soalan supaya dapat mengeluarkan hukum yang jelas. 

            Seorang Mufti juga tidak dibenarkan berfatwa semasa berfikiran kusut sama ada disebabkan marah, sedih, bosan dan lain-lain. Oleh itu, beliau hendaklah berfikir dalam keadaan tenang tanpa sebarang gangguan ketika mengeluarkan fatwa bagi memastikan hukum yang dikeluarkan tidak dipengaruhi daripada mana-mana unsur yang melibatkan emosi. Selain mufti, fatwa juga berkait rapat dengan mustafti yang akan dijelaskan dengan lebih lanjut lagi di bawah ini.

DEFINISI MUSTAFTI

            Al-Mustafti adalah orang yang meminta fatwa dan bertanya tentang hukum syarak. Apabila terdapat permasalahan-permasalahan baru yang memerlukan hukum, maka Al-Mustafti akan meminta fatwa daripada mufti 
            Selain itu, Al-Mustafti adalah mereka yang tidak layak untuk mengeluarkan fatwa dan tidak mencapai taraf sebagai seorang mufti.


ADAB MUSTAFTI

            Dalam bermu’amalah kebiasaannya kita memerlukan adab dan panduan untuk berhubung atau berkomunikasi dengan manusia lain. Secara ringkasnya di sini akan diterangkan berkenaan dengan adab-adab yang perlu dijaga bagi seorang mustafti. Mustafti hendaklah menjaga adab ketika bertanyakan soalan kepada mufti sama ada dari segi perkataan, gaya bahasa atau gerak tubuh yang digunakan ketika berhadapan dengan mufti 

          Sebagai contoh, “Apakah pandangan menurut imam mazhab anda berkenaan dengan masalah ini?” Antara adab-adab lain ialah mustafti tidak sepatutnya berada dalam keadaan jemu, dukacita, marah atau dalam keadaan berdiri ketika dia bertanya. Ini adalah kerana dibimbangi hatinya dalam keadaan yang tidak tenteram ketika itu. Di samping itu, sekiranya mustafti masih mempunyai keraguan atau ingin bertanya lebih lanjut tentang persoalanya maka tidak sepatutnya dia bertanya pada ketika itu. Mustafti hendaklah berbuat demikian pada majlis yang lain atau sekiranya ingin bertanya pada majlis yang sama hendaklah setelah dia menerima fatwa beserta dalil dan hujah daripada mufti.

MUFTI DAN KELAYAKANNYA
            Pada zaman kehidupan Rasullah S.A.W dan para Sahabat, Baginda merupakan satu-satunya mufti yang berkelayakan dalam mengeluarkan sesuatu fatwa dalam sesuatu masalah atau isu yang timbul. Baginda juga merupakan utusan Allah S.W.T yang terakhir dan kebanyakkan perkataan yang diucapkan adalah wahyu yang telah diturunkan oleh Allah kepada Baginda. Begitulah juga hal keadaan Baginda dalam mengeluarkan fatwa pada ketika itu yang sememangnya tidak boleh dinafikan dari segi kelayakan Baginda selaku mufti. Selepas kewafatan Baginda, kedudukan mufti ini telah disandang oleh para sahabat dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
            Selepas sekian lama, zaman dan masa turut berubah. Kelayakan seseorang sebagai mufti juga telah berubah kerana tidak ada lagi individu-individu yang mampu mengeluarkan fatwa sebagaimana kemampuan yang telah dimiliki oleh para Sahabat dan zaman selepasnya. Maka tugas seorang mufti bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana seseorang yang menjadi mufti mestilah mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan tersebut. Ini adalah kerana seseorang yang menjadi mufti perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu yang tinggi dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau isu yang timbul.
            Seseorang yang menjadi mufti juga hendaklah celik dan mahir tentang realiti kehidupan semasa disamping dapat mengaitkan fatwanya dengan kehidupan manusia. Mufti juga tidak boleh hanya sekadar menulis teori-teori yang bersifat kosong ataupun memberikan fatwa yang bersifat tergantung. Dengan hasil usahanya untuk membuat penelitian dan juga memahami realiti semasa kehidupan masyarakat. Secara tidak langsungnya juga, ia dapat membuat batasan yang tertentu serta menetapkan kepentingan-kepentingan yang perlu dijaga. 
Dari segi kelayakan seseorang mufti untuk mengeluarkan fatwa, ia telah dikategorikan oleh Ibnu ‘Abidin kepada tujuh jenis: 
i) Mufti bertaraf mujtahid yang telah mewujudkan kaedah perundangan Islam sendiri (qawa’id al-usul) dan cara mengeluarkan hukum furuk melalui al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas tanpa berpegang kepada mana-mana dasar yang diamalkan oleh seseorang imam mujtahid lain. Imam mazhab yang empat telah termasuk dalam kategori ini.
ii) Mufti yang mampu mengeluarkan hukum melalui dalil-dalil dan kaedah-kaedah yang telah diterangkan oleh imam mereka yang bertaraf mujtahid. Kadangkala mereka mengeluarkan hukum furuk yang bercanggah dengan hukum yang telah ditetapkan oleh imam yang mereka ikuti. Namun demikian, mufti kategori ini masih berpegang dengan kaedah perundangan telah ditetapkan oleh imam mereka yang bertaraf mujtahid.
iii) Mufti yang hanya mengeluarkan fatwa mengenai masalah furuk tanpa bercanggah dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh imam mereka serta tidak lari dari kaedah-kaedah perundangan yang telah dijelaskan oleh imam mereka. Fatwa yang telah dikeluarkan oleh mufti kategori ini hanylah berkenaan masalah yang belum jelas hukumnya dengan berlandaskan kaedah yang telah ditetapkan oleh imam mereka.
iv) Mufti yang bertaraf muqallid. Mereka ini tidak boleh melakukan ijtihad, akan tetapi disebabkan oleh mereka telah menguasai kaedah-kaedah dan tempat sandaran hukum yang telah ditetapkan oleh imam mereka, maka mereka berkemampuan untuk mentafsirkan hukum yang tidak jelas dan yang ada andaian dua tafsiran yang telah diasaskan oleh imam mereka. Mufti kategori ini boleh mengeluarkan hukum berdasarkan al-Qiyas terhadap masalah yang berlaku.
v) Mufti yang tidak boleh melakukan ijtihad tetapi berupaya mentarjihkan pendapat imam yang perlu diutamakan dan sesuai dengan kepentingan masyarakat.
vi) Mufti yang bertaraf muqallid serta tidak boleh melakukan ijtihad dan tidak dapat mengeluarkan fatwa secara sendiri. Mereka hanya mampu membezakan tingkatan pendapat imam mereka. Selain itu, mereka lebih mirip kepada orang yang memberitahu fatwa yang telah ditetapkan oleh imam mereka.
vii) Mufti muqallid yang tidak boleh melakukan ijtihad dalam mengeluarkan fatwa serta tidak berupaya langsung membezakan antara tingkatan pendapat imam mereka serta tidak mengetahui kaedah perundangan dan dalil yang digunakan oleh imam mereka. Mufti kategori ini adalah tidak diiktiraf oleh syarak dan orang awam dilarang mengikut fatwa yang dikeluarkannya.
               Kategori-kategori mufti yang telah dinyatakan seperti di atas sudah berkurangan pada masa kini akibat daripada perubahan masa yang berlaku. Selain itu, tidak ada mufti yang mujtahid dalam mengeluarkan fatwa pada masa kini. Maka dalam konteks Malaysia, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa fatwa seperti Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi menyelaras serta menguruskan hal ehwal fatwa dalam negara ini. Melalui jawatankuasa ini juga dilihat lebih sesuai berbanding dari pernyataan individu seperti mufti dalam mengeluarkan sesuatu fatwa.  
KAEDAH PENGELUARAN FATWA
          Di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa ianya terdapat beberapa kaedah atau prosedur yang perlu dipatuhi. Di antaranya ialah terdapat satu badan yang menjadi penyelaras bagi mengendalikan urusan pengeluaran sesuatu fatwa. Berikut adalah penerangan mengenai kaedah ini:
ORGANISASI
              Struktur organisasi di dalam setiap pentadbiran melibatkan beberapa jawatankuasa yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Setiap institusi pula mempunyai organisasi untuk mentadbir dan mengurus perjalanannya, begitu juga dengan fatwa. Perkara yang ingin disentuh dalam perkara ini ialah mengenai jawatankuasa bagi Majlis Fatwa Peringkat Kebangsaan dan ia diketuai oleh seorang pengerusi. Skop tugas pengerusi tersebut ialah bertanggungjawab untuk memanggil ahli-ahli majlis untuk bermuzakarah sekiranya terdapat sesuatu isu yang timbul.
Seterusnya, tugas setiausaha pula ialah bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan memanggil atau menjemput setiap ahli majlis untuk bermuzakarah. Ahli-ahli majlis ini pula terdiri daripada mufti bagi setiap negeri di Malaysia. Setiap daripada mereka akan dipanggil jika ada sesuatu isu baru yang timbul dan kemudiannya akan pulang ke negeri masing-masing dengan membawa keputusan hasil daripada muzakarah peringkat kebangsaan. Urusetia turut tersenarai dalam organisasi ini dan ia dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa, JAKIM.
Prosedur mengeluarkan fatwa pada peringkat kebangsaan pula adalah berbeza berbanding dengan prosedur mengeluarkan fatwa bagi setiap negeri. Ia adalah membabitkan fatwa bagi sebuah negara dan negeri-negeri yang ada akan terletak di bawah bidang kuasa fatwa kebangsaan ini. Selain itu, telah wujud satu Majlis Fatwa Kebangssan bagi memantau dan menyelaraskan Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri-negeri khususnya dalam sesuatu permasalahan atau isu yang besar yang melibatkan persoalan negara ataupun akidah umat Islam itu sendiri. Di antara isu yang telah diselesaikan atau diputuskan ialah sama ada halal atau haram Amanah Saham Malaysia, pegangan al-Arqam, golongan anti hadis dan lain-lain lagi.
LANGKAH-LANGKAH PENGELUARAN FATWA
Berikut adalah langkah-langkah yang perlu ada dalam prosedur pengeluaran fatwa peringkat kebangsaan :
         1)   Permohonan keputusan fatwa.
        Pada peringkat ini, sesuatu isu yang timbul sama ada dari masyarakat mahupun mufti akan dibawa oleh pengerusi untuk diperbincangkan dalam sesi muzakarah yang diadakan. Sebelum isu tersebut dibawa dalam sesi muzakarah, ianya telah melalui satu proses kajian atau penyelidikan oleh beberapa ahli yang dilantik seperti panel kajian. Golongan ini akan melakukan semakan hasil draf atau kertas kerja yang mengandungi masalah atau isu yang timbul. Mereka juga akan memperbaiki kesalahan yang berlaku pada draf atau kertas kerja tersebut. Seterusnya, selepas draf atau kertas kerja mengenai isu itu lengkap, ia akan diperbahaskan dengan baik pada sesi muzakarah.
2      2)   Pertimbangan oleh jawatankuasa fatwa
        Pada peringkat ini, semua ahli majlis akan bermuzakarah bagi kes atau isu yang timbul dan selanjutnya akan membuat keputusan yang sewajarnya hasil daripada sesi muzakarah tersebut. Di sini setiap ahli akan menggunakan kepakaran masing-masing dalam mencari jawapan bagi kes atau isu yang timbul berdasarkan kepada sumber-sumber pengeluaran hukum seperti al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, qiyas dan Ijtihad ahli fuqaha semasa.
3       3)    Keputusan fatwa dikeluarkan
       Pada peringkat ini pula, hasil keputusan muzakarah tersebut akan dikeluarkan oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan hasil keputusan tadi hanya disebut sebagai pemberitahuan hukum walaupun ia telah diumumkan pada masyarakat.
4         4)    Keputusan fatwa dibawa ke peringkat negeri
         Pada peringkat ini, setiap mufti yang mewakili negeri masing-masing akan membawa keputusan muzakarah pada peringkat kebangsaan ini untuk diperbincangkan atau diperbahaskan dengan setiap ahli majlis pada peringkat negeri.
          Walaupun sudah terdapatnya fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, tetapi masih berlaku kecenderungan bagi setiap negeri untuk meminda teks fatwa tersebut selepas ia dibawa balik ke negeri masing-masing dan ditentukan oleh jawatankuasa fatwa negeri masing-masing. Biarpun keputusan fatwa yang dibuat di peringkat Kebangsaan itu merupakan keputusan majoriti para mufti yang menjadi anggota, namun perubahan masih berlaku apabila ia dibincangkan semula di peringkat negeri walaupun fatwa tersebut adalah keputusan majoriti dari para mufti. 
           Pada peringkat yang terakhir, fatwa tersebut akan disiarkan sama ada melalui media elektronik dan media cetak selepas diwartakan. Ia bertujuan bagi mengelakkan dari berlakunya lagi kesamaran di kalangan masyarakat terhadap sesuatu permasalahan isu yang baru timbul.
PERCANGGAHAN FATWA
            Mengenai hal percanggahan fatwa-fatwa yang dikeluarkan, ia sebenarnya telah berlaku semenjak zaman para Sahabat lagi. Percanggahan yang berlaku pada zaman itu adalah disebabkan beberapa faktor dan di antara faktor yang kebanyakannya berlaku ialah perbezaan sumber hadis yang diterima. Perkara ini berlaku kerana ada setengah sahabat yang menerima hadis tertentu tetapi hadis yang sama tidak diterima oleh sahabat yang lain. 
            Dalam soal percanggahan fatwa yang melibatkan dua orang mufti atau lebih dalam masalah yang sama, hendaklah kita memilih fatwa yang telah diputuskan oleh mufti yang lebih alim dan warak. Apabila kedua-dua mufti mempunyai persamaan dalam sifat-sifat tersebut hendaklah pula mengikut fatwa yang telah diputuskan oleh mufti yang lebih tegas dan berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa. Sekiranya kedua-dua mufti ini sama juga dalam perkara-perkara ini, maka boleh memilih fatwa apa yang hendak dituruti. 
            Jikalau seorang mufti yang mengikut fatwanya telah meninggal dunia, kedudukannya akan diganti oleh mufti lain yang baru. Apabila ia mengeluarkan fatwa yang baru dan ternyata berbeza fatwa dengan yang telah dibuat oleh mufti yang sebelumnya mengenai masalah yang sama, maka para ulama usul telah berselisih pendapat dalam menentukan fatwa mana yang perlu diikuti. Bagi yang berpendapat perlu mengikuti hukum fatwa yang dibuat oleh mufti yang telah meninggal, mereka memberi alasan bahawa hukum tersebut tidak terbatal kerana yang meninggal ialah mufti bukannya fatwa. Manakala yang berpendapat perlu mengikut hukum yang telah dibuat oleh mufti baru berpendapat mufti yang ada pada masa itu adalah lebih mengetahui tentang suasana dan keperluan semasa. Hal ini kerana hidup atau mati seorang mufti itu bukanlah faktor utama sama ada untuk menggunakan atau meninggalkan fatwa tersebut.
Para ulama usul mempunyai lima pendapat dalam masalah ini, yang pertamanya ialah mengambil fatwa yang paling ketat. Kedua ialah mengambil fatwa yang paling ringan. Ketiga, hendaklah berijtihad untuk menentukan mufti mana yang lebih utama untuk diikut. Keempat, hendaklah bertanya kepada mufti lain dan mengikut salah satu mufti yang bercanggah dan menepati sebagaimana fatwa yang ketiga. Kelima ialah boleh memilih mana-mana fatwa yang disukai dan dianggap sesuai pada masalah yang dihadapi. 
Percanggahan fatwa juga kadangkala berlaku hanya hasil daripada seorang mufti sahaja. Ianya berlaku kerana adanya perubahan pada fatwa yang dikeluarkan. Sekiranya mufti ini berijtihad dan menetapkan hukum bagi satu-satu masalah dan kemudiannya telah berubah ijtihad lalu menetapkan hukum yang berlainan dengan hukum yang telah diputuskan sebelum ini. 
KEPENTINGAN FATWA DAN MUFTI

Kedudukan fatwa dan mufti adalah amat mulia dan kepentingannya juga terserlah dalam institusi di sepanjang zaman.

            Penjelasan dan ajaran Allah SWT tentang hukum syarak telah memberitahu kebahgiaan dan kebaikan hambanya yang beriman sama ada individu atau kumpulan masyarakat di dunia ini seterusnya membawa ke akhirat kelak.[29]
            Cara-cara penerangan yang termaktub di dalam al-quran dalam dua bentuk :
1)    Tanpa ditanya dan tanpa disoal, seperti arahan-arahan dan larangan daripada Allah SWT kepada orang-orang beriman. Cara seperti ini cukup banyak digunakan seperti ayat-ayat mewajibkan berpuasa, hukum qiyas dan lain-lain.
2)    Penjelasan yang dimulakan dengan pertanyaan dan persoalan yang dikemukakan. Cara ini adalah berdasarkan keperluan orang ramai khususnya mereka yang terlibat dengan permasalahan tersebut. Justeru Allah SWT menjawab melalui wahyu-Nya kepada Rasulullah SAW sama ada dirakamkan di dalam al-quran atau di dalam al-Sunnah. Contoh penjelasan adalah seperti penjelasan tentang Allah SWT sendiri, masalah anak bulan, gesaan daan galakan berinfaq (sedekah ke jalan Allah SWT) dan lain-lain.
Biasanya uslub (cara yang digunakan) ialah (يسئلونك) mereka bertanya Kamu (Hai Muhammad). Tetapi di celah-celah uslub (mereka bertanya kamu) terdapat dua ayat dalam al-quran uslub diubah kepada mereka meminta fatwa kepada kamu (يستفتونك). Persoalannya kenapa uslub ini berlainan dengan yang sebelumnya? Dalam menjawab persoalan ini merujuk kepada Syeikh al-Azhar, Syeikh Mahmud Syaltut dalam bukunya yang bertajuk al-Fatawa.Beliau menjawab : pengkhususan dua tajuk ini iaitu masalah wanita dan masalah kalalah  dengan uslub istifa’ (meminta fatwa), tidak seperti bertanya, bersoal atau meminta penerangan, jelas menunjukkan betapa prihatinnya kepada dua tajuk ini, iaitu permasalahan keluarga dan hak harta. Ini adalah berdasarkan kepada perbezaan antara perkataan istifta’ yang menghendaki kepada pengamatan yang mendalam dan teliti, sedangkan persoalan atau pertanyaan tidak perlu kepada pengamatan.

Kepentingan dan tanggungjawab fatwa dan mufti kepada ummah amatlah besar. Lantaran kedudukannya yang sangat mulia di sisi agama, terlebih dahulu dibentangkan di dini tanggungjawab dan amanah fatwa dan mufti yang sangat besar.

            Ibn al-Qayyim berkata : kalua jawatan tandatangan (wakil) daripada raja-raja tidak perlu lagi disebut kelebihan dan pertikaian kemuliaannya yang pasti berada di kemuncak jawatan, maka bagaimana pila jikalau ia sebagai Tuhan yang mewakili langit dan bumi? Sudah semestinya sesiapa yang ditempatkan pada kedudukan ini akan melakukan persediaan yang sewajarnya dan tahu nilai jawatannya. Dia tidak akan sempit dada daripada bercakap benar kerana yakin Allah SWT pasti menolong serta memberi hidayah kepadanya.

Musaffir berkata : Seseorang mufti semestinya mengetahui siapa yang diwakilinya dalam fatwa. Percayalah bahawa dia akan ditanya pada kemudian hari dan dihadapkan di hadapan Allah SWT.

            Seterusnya kesinambungan fatwa yang Allah SWT sendiri sebagai mufti ditaklifkan pula kepada Rasulullah SAW. Dengan sebab itu dapat dilihat banyak hadis Rasulullah SAW yang memberi fatwa atau yang membicarakan perkara tentang  memberi fatwa.

            Oleh sebab setiap muslim wajib beriltizam dengan hukum syarak dalam melayari bahtera kehidupan ini tentang perkara halal dan haram, dapat dilihat betapa pentingnya seseorang muslim itu bertanya, meminta penjelasan tentang segala hukum agama sama ada masalah kecil ataupun besar.

            Sayid Qutub berkata : Ahli kitab yang didatangi para rasul di zaman dahulu, adakah rasul-rasul itu dari jenis-jenis manusia, lelaki atau dari jenis malaikat, atau dari jenis makhluk yang lain? Bertanyalah kepada mereka ( jika kamu tidak mengetahui ). Kami mengutuskan mereka membawa mukjizat-mukjizat dan kitab-kitab suci.

            Jelasnya, merujuk kepada pakar dan ahli bidang-bidang tertentu jika kamu tidak mengetahui dan memahaminya. Kaedah ini merupakan pedoman hidup sepanjang masa sebagaimana jika seseorang atau salah seorang daripada ahli anggota keluarganya menderita sakit, maka dia akan merujuk dan memohon bentuan orang yang pakar dalam bidang perubatan iaitu doctor. Begitu juga dalam perkara agama, ia mesti merujuk dan meminta nasihat serta petunjuk daripada pakar-pakar yang menguasai ilmu agama iaitu para ulama.

Di sinilah terserlahnya kepentingan ahli zikir yang arif dan alim bagi mengungkai segala kemelut kehidupan manusia mengikut acuan syarak yang diredhai Allah SWT. Dengan adanya mufti yang berfatwa secara amanah dan teliti, akan membawa kepada kesejahteraan ummah.

PENUTUP

Setelah merentasi segala perbincangan ini, kesimpulannya bahawa fatwa yang membawa maksud mengungkil persoalan agama oleh mufti mestilah mempunyai penelitian tertentu. Wujudnya pertautan yang kukuh dan erat antara takrif Bahasa dan istilah serta persamaan takrif antara ulama fekah dan usul membuktikan masalah ini adalah berkait dengan tugas dan tanggungjawab mufti.
            Sebagaimana yang dimaklumkan, hukum fatwa dan mufti adalaha fardu kifayah dan kadang-kadang membawa kepada fardu ain jika seorang sahaja yang layak berfatwa di satu-sau tempat.
            Oleh kerana jawatan mufti adalah jawatan utama dan mulia di sisi agama, sudah tentu mufti mempunyai etika dan adab yang tinggi untuk dijunjung sebagai teladan di samping bersedia untuk memantapkn ilmu-ilmu agama dan memahami reality kehidupan semasa.
            Pada masa yang sama, mufti hendaklah teliti dan berhati-hati ketika berfatwa supaya tidak songsang dan menyelewen. Ini kerana balasannya cukup dahsyat di akhirat kelak.
           
RUJUKAN

1) al-Ashqar, Usamah Muhammad Sulaiman. 2004. Manhaj al-ifta’’inda al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Jordan: Dar al-Nafais.

2) al-Ashqar, Usamah Umar. 2009. Fauda al-Iftaq. Dar al-Nafais.

3) al-Barawi, Muhammad Sa’id Muhammad. 2009. Mazaliq al-fatwa. Kaherah: Dar al-Basa’ir.

4) al-Hafnawi, Muhammad Ibrahim. 1995. Tabsir al-nujaba’ bi haqiqat al-ijtihad wa al-taqlid wa al-talfiq wa al-ifta’. Kaherah: Dar al-Hadith.

5) al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. 1986. al-Fatwa fi al-Islam. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

6) al-Zuhayliyy, Wahbah. 1986. Usul al-fiqh al-Islamiyy. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir.

7) Hasnan Kasan. 2008. Institusi fatwa di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

8) Kassim Salleh. 1989. Ijtihad: Sejarah dan perkembangan. Petaling Jaya: al-Rahmaniah.

9) Othman bin Hj Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam. Selangor: Penerbit Fajar Bakti.

10) Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2008. Fatwa & mufti hukum, etika dan sejarah. Bandar Baru Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.
11) Zaini Nasohah. 2005. Undang-undang Penguatkuasaan Fatwa di Malaysia.http://pkukmweb.ukm.my/~penerbit/jurnal [1 Mac 2010].


No comments:

Post a Comment

PELAMPAU : Syiah Rafidhah

Maksud Rafdh (Rafidhah) Mereka pada asalnya adalah orang-orang yang terpisah daripada Imam Zaid bin Ali kerana beliau mengiktiraf Abu Ba...